Monday, September 15, 2008

Terima Kasih Cikgu !

SAJAK "GURU O' GURU"

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki

Berguru kepalang ajar
barat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang
Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang
Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang
Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dialah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat. "

USMAN AWANG1979 ..

Setiap kali aku menghayati puisi Allahyarham Usman Awang ini, hati aku jadi sebak.. setiap kali menjelang hari guru (16 Mei), aku pasti akan smskan rangkap pertama puisi pada cikgu-cikgu yang rapat dengan aku..


Duduk dikerusi empuk dan dibilik berhawa dingin ini mengingatkan aku jerih perih seorang guru yang terpaksa berdiri menghidu habuk kapur dan melayan kerenah murid-murid setiap hari..


Selepas tamat belajar di Universiti, bila berkesempatan guru-guru lama, pasti aku hubungi. Ada antara bekas guru yang terus menjadi kawan baik dan akan bermalam di rumah kalau ada mereka berkursus di Kuala Lumpur..


Baru-baru ini, seorang guru kelas semasa di Matrikulasi Mara dulu dan juga guru silat cimande yang dihormati , Cikgu Ross yang bukan saja kami anggap sebagai guru tapi juga sebagai penganti ibubapa kami semasa belajar diKulim telah menghubungi kami semasa beliau diKL. Satu perjumpaan telah diatur dan kami bertemu di Restoren Sri Chengmai, Sungai Buloh. Pertemuan selama 4 jam itu mengubat rindu antara murid dan guru. Guru tetap guru.. peluang yang ada telah Cikgu Ross isikan dengan nasihat dan ilmu yang berguna buat kami.. kami sedar, siapalah kami tanpa tunjuk ajarmu Cikgu...


Terima Kasih Cikgu!

Tuesday, September 2, 2008

Menjejak Rindu Di Puncak Ledang

Buat kesekian kalinya aku melayan gelojak jiwa yang meruntun untuk menawan Sang Puteri yang kelihatan sayup dari bumi Asahan, Melaka dan Tangkak, Johor. Hari ini, 17 Aug 08, bersamaan dengan hari Sabtu, 15 Sya'aban, aku kembali menawan puncak Gunung Ledang yang tempat bersemayamnya lagenda sang puteri gunung Ledang & sang petapa Adi Putra, guru silat pada Hang Tuah lima bersaudara...

Ini kali ke-3 aku mendaki gunung ini, kali pertama, sekitar tahun 1988 melalui trek Asahan, Melaka. Kali kedua, sekitar tahun 2002 melalui trek Air Panas, Sagil, Johor dan kali-3 melalui trek pemancar TM yang boleh dimasuki melalui kampung orang asli di Jalan Air Tawas, Sagil. Cuma expedisi ke-3 ini tidak menggunakan kudrat empat kerat untuk menggalas camping beg aku yang sarat dengan pelbagai khazanah tu. kali ini aku mempertaruhkan kudrat Toyota Unser Abang aku untuk mendaki sampai ke pemancar TM yang terletak kra-kira 500 meter dari puncak tertinggi gunung Ledang.

Kami melalui jalan berliku dan berlopak yang bisa mencabut urat pinggul kesan henjutan tanpa henti sepanjang perjalanan ke empangan Tangkak (lokasinya terletak di tengah-tengah perjalanan kepuncak). Setelah mendaftar di Pos Taman Negara bersebelahan kawasan empangan, kali terus memandu hingga ke pemancar TM. Kawasan pemancar ini, adalah kawasan larangan negara dan anda harus mendapatkan permit dari pihak berwajib jika hendak memandu hingga kesini, kalau tidak anda akan dihalau secara percuma oleh abang-abang tentera yang bertugas disana.

Pendakian sebenar bermula jam 4.30pm dan sampai kira-kira jam 5.00pm. Walaupun 6 orang mendaki dan jarak pendakian tak sampai 1 km, hanya 2 orang sahaja yang sampai termasuklah aku ..hehehehe.

Kepuasan terbayang setelah kaki mencecah ke puncak Ledang. Berbekal sebotol air mineral, aku mengambil wuduk dan menunaikan hajat untuk solat di puncak lagenda ini... ada misteri yang tak mampu aku rungkai dalam pendakian ini..bak kata Siti, biarlah rahsia....

Meredah trek berliku menuju kepuncak gunung Ledang..

..bermula pendakian, tidak jauh dari kawasan pemancar TM

Tuesday, June 3, 2008

Faces of Surabaya


Java Puppet at Sempoerna cigarettes factory.

Mud Volcanoes at Porong , the tears of Surabaya

Sunrise at the peak of Mount Penanjakan, Surabaya

Mount Bromo, view from the peak of Mt. Penanjakan

Coban Rondo, Waterfall of the legend widow

Colour of faces

Fruits with hair.. what is it ?

Wednesday, May 21, 2008

Menjejak Tuan Tulis

Sudah seminggu sahabat baik ku, Dr. J terlantar di HKL, diserang demam denggi. Rasa bersalah menyelubungi diri bila aku tak sempat nak ziarah dia di hospital. Aku sms PA dia, " Salam. Dr. masih berada di hospital atau sudah discharged? Mudah-mudahan Dr. dah sembuh seperti sedia kala". Kemudian aku terima balasan sms dia.. " Dah kuar. bleh lompat pagar". Aku tersenyum sendiri bila terima sms ini, diikuti dengan satu sms susulan.. 'Doc ada pernah ckp nak ajak U g makam Tuan Tulis". "Hmm... molek juga" fikir aku sendiri dan aku terus balas sms dia " Insyaallah, boleh set masa dgn dr., kalau berpeluang boleh pi mkm tuan tulis dgn dr. nanti.."

Setelah beberapa sms susulan, kami telah menetapkan hari Sabtu (lepas) untuk ziarah kemakam Tuan tulis ini. Perjalanan dari KL ke Kuala Pilah mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah, melalui lebuhraya Plus. Selepas Exit Senawang, terus ke Kuala Pilah melalui Bukit Putus hingga tiba ke Pekan Teraci. Makam Tuan Tulis terletak di Kg.Talang Kuala Pilah, kira-kira 3km selepas balai polis Teraci.


Masjid Tuan Tulis yang terletak di Kg. Talang, Kuala Pilah. Didepan masjid terdapat replika keris dan sedikit catatan mengenai Tuan Tulis.
Apa yang menarik tentang Tuan Tulis ini? atau nama sebenar beliau Tn. Guru Ismail Jaaman. Beliau hidup dari tahun 1840- 1923 dan dikenali sebagai seorang alim lagi soleh dan bertaraf Wali Allah (berdasarkan Karamah yang dikurniakan Allah SWT pada beliau). Setelah meninggal dunia, makam beliau sering dikunjungi orang di seluruh pelusuk negara.

Tuan Tulis mendapat gelaran ini guru dan rakan-rakan lantaran kerajinan beliau menyalin isi kitab-kitab yang dimiliki dan yang dipelajarinya selain di dakwa pernah menjadi juru tulis gurunya. Beliau telah merantau hingga ke Temerloh, Pahang dan mengaji agama dibanyak tempat seperti di Pancur, Sanggang, Lubuk Kawah dan lain-lain tempat. Di Lubuk Kawah beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kelantan. Dari segi perawakannya, Tuan Tulis bertubuh kecil dan gemar memakai kain pelikat, berseluar jerut, baju Melayu dan bertongkat.

Allahyarham Tuan Tulis banyak membuat kerja kebajikan dalam masyarakat. Beliau tidak berat tulang untuk menolong orang susah, memberi nasihat dan menyeru amal maaruf dan nahi mungkar. Kesannya ramailah orang-orang yang dijadikan sahabat kembali taat dalam ibadah walaupun dulunya liat dalam menunaikan tuntutan agama.Dipercayai bahawa Tuan Tulis mewarisi Tarekat Satariah dan kuat beribadah. Diriwayatkan semasa hayatnya, terdapat perkara-perkara pelik berlaku pada Tuan Tulis. Antaranya ialah beliau sempat ke Mekah membantu memadamkan kebakaran besar pada awal tahun 1900 ketika tukang cukurnya masuk ke rumah untuk mengasah pisau cukurnya. Kerbau-kerbau milik beliau juga akur dengan perintahnya tidak memakan padi orang di sawah dan tetapi makan rumput sahaja. Keanehan lain pula ialah beliau pergi mengubat Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhamad di London dengan air jampi sedangkan beliau telah meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

Beliau amat diingati dengan kejayaan beliau menghasilkan sebuah masyhaf Al-Quran tulisan tangan. Beliau juga telah berusaha mendirikan sebuah masjid di Kg Kuala Talang pada tahun 1920 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.Tuan Tulis meninggal dunia dalam tahun 1923 selepas subuh hari ke sepuluh bulan Ramadhan ketika berusia 83 tahun. Beliau dikebumikan di Kawasan Masjid Kuala Talang, Tanjung Ipoh. Tuanku Muhamad Yang Dipertuan Besar telah perkenan membina makamnya di sana sejurus bila baginda balik dari England selepas diubati oleh Tuan Tulis. Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, jenazahnya dikatakan ghaib secara tiba-tiba semasa dituruni ke liang lahad. Wallahualam. (sumber fakta: lebaikampung.blogspot.com)

Itu sedikit sebanyak tentang Tuan Tulis, di sana kami sempat bertemu cucu saudara Tuan Tulis , nenek Jenab dan pemegang kunci makan Tuan Tulis yang merupakan salah seorang waris Allahyarham, Pak Cik Jidon.

Selepas zohor, kami berangkat pulang dan singgah di Istana Seri Menanti dan seterusnya melawat ladang ternakan Naga.. opps, ladang tananam buah naga, di Kuala Pilah. Petani disini bijak menggunakan faktor cuaca ( Kuala Pilah merupakan kawasan yang paling kering di Malaysia @ menerima taburan hujan yang paling sedikit). Aku rasa Sinaganaga patut melawat ladang ini untuk melihat betapa cantiknya ladang ini dan betapa merahnya buah naga ini diluar dan didalam....


Panorama di ladang buah naga ( Dragon Fruit) di Kuala Pilah. Buah naga yang merah diluar dan merah di dalam.

Tuesday, May 20, 2008

Urut, Diurut dan Mengurut .....

Dalam satu mesyuarat NGO beberapa minggu lagu, lepas sessi formal berakhir, terlontar satu cadangan dari Suradi, salah seorang ahli mesyuarat. " Bro, jom pi kursus mengurut" ajak beliau. "Kursus mengurut? bila tu? menarik ke?" tanya aku cuba mencungkil maklumat tambahan. Setelah diselidiki rupa-rupanya kursus ni dibawah kelolaan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi. Kalau nak diikutkan, kursus ni tak relevan langsung dengan karier aku sekarang, hehehehe. Apa pun, aku berpegang dengan kata orang-orang tua, "Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya". Selalunya aku yang diurut oleh Wak Slamet, masseur peribadi yang mengurut aku setiap bulan, tapi lepas ni mungkin aku yang urut Wak Slamet pulak... hahahaha.

Sebenarnyer, kursus tu adalah kursus Urutan Traditional Melayu. Tenaga pengajar itu ialah En Roslan dan Tuan Syed Mahdi iaitu pakar Urutan Traditional Melayu. Kalau tengok CV pengajar ni, perghh! memang mengkagumkan. Pengalaman mereka dalam bidang mengurut ni dah berpuluh-puluh tahun, dah merata cerok tempat dah mereka pergi demi mencari ilmu mengurut ni. Dari selatan, utara dan melepasi sempadan tanah air mereka menimba ilmu mengurut ini. Mereka juga merupakan duta negara dalam mempromosi Malaysia atau urutan tradisional Melayu keseluruh dunia termasuk ke Jepun, Jerman, Arab Saudi dan negara-negara yang lain.

Kami belajar teknik mengurut asas. Ada latihan amali dan ujian teori. Memang menarik ! pengalaman yang mereka kongsikan cukup bermanfaat. Aku turunkan beberapa petua untuk dikongsi bersama.
1. Petua awet muda & kesihatan
Amalkan minum air putih/mineral sebaik saja bangun dari tidur.
- Sila Baca, teguk air pertama: i) Bismillahhirrahmaanirrahim
teguk air kedua : ii) Lailahaillallah
teguk air ketiga : iii) Alhamdulillah
..dan terus habiskan baki air yang selebihnya. InsyaAllah.
2. Amalkan mencuit/merasa sedikit garam sebelum makan. Ini baik untuk kesihatan perut.

3. Amalkan memakan/minum sedikit madu asli setiap hari.
4. Jangan kencing berdiri, biasanya air kencing tidak akan tos habis dan ianya juga boleh melemahkan anu anda.

Seterusnya amalkan senaman tua setiap pagi sejurus saja bangun dari tidur. Ini sebahagian dari senanaman tua, bahagian terlentang. Baik untuk pinggang, kaki dan regangan saraf-saraf utama sekaligus membolehkan anda "mengangkat" dua biji kelapa...TuuuUuuutttttt...

Senam 1

-Tarik nafas, tegakkan lutut dan angkat pinggang keatas

-Tahan nafas untuk seketika, lepas nafas dan turunkan pinggang kebawah secara perlahan-lahan

- Ulang beberapa kali

Senam 2

-tarik nafas, angkat lutut silangkan kaki dan tarik kearah badan sehingga kedudukan punggung ternaik sedikit.

-tahan nafas seketika, turunkan kaki perlahan-lahan sambil melepaskan nafas

-ulang beberapa kali


Senam 3

-Tarik nafas, angkat kaki dalam betuk L, jatuhkan kaki kesebelah kiri perlahan-lahan (tanpa mengerakkan kepala) dan lepaskan nafas

-Ulang sekali lagi disebelah kanan.

-Ulang beberapa kali

Senam 4.

-Tarik nafas, angkat kaki lurus dan gerakkan pergelangan kaki.

-Lepaskan nafas, ulang beberapa kali.

Sekian, sedikit ilmu untuk dikongsi bersama....Adioooss

Tuesday, April 15, 2008

Pontianak Pulau Gadong !

13/04/08 (Ahad), 7.00 pm.. aku terima panggilan dari abang aku di kampung Melaka. " Mak nak datang rumah Kak Ina malam ni boleh ke?" tanya abang aku. Kebetulan hari tu aku baru lepas bawa kakak Ina aku sekeluarga bercuti di Fraser Hill dan mereka transit di rumah aku sekejap sebelum bertolak balik ke Seremban. Aku kira, kalau bertolak dari KL pukul 10 malam mungkin akan sampai ke Seremban pukul 11 lebih. Aku suruh abang aku pujuk mak untuk datang hari lain saja sebab takut kakak sampai lambat dirumahnya. Abang kata mak bertegas nak ke Seremban jugak. Aku naik hairan. Selalu mak tak macam ni.

Kakak bertolak pulang ke Seremban setelah selesai makan malam. Mereka harus sampai awal untuk mengelakkan emak menunggu lama di Seremban. Tapi malam itu aku masih tertanya-tanya gerangan apa mak bersungguh untuk ke rumah kakak?

14/04/08 (Isnin), 10.00am.. Abang aku datang ke ofis untuk bertukar kereta dengan aku. Sebelum beredar, dia sempat menunjukkan sesuatu yang menyebabkan mak aku beria-ria nak ke Seremban. Di selaknya Harian Metro muka surat 9, bertajuk " Ramai tunggu pontianak". Ceritanya, ada yang mendakwa nampak pontianak menangis di waktu malam dan kejadian itu berjaya dirakam dalam klip video sepanjang 50 saat dan memaparkan seorang wanita berambut panjang serta berkain putih terapung di udara sambil menangis. Kejadian tu berlaku Jambatan Pulau Gadong yang terletak lebih kurang 800 meter dari rumah mak aku di kampung. Laaa... patutlah mak aku beria-ria sangat nak ke Seremban. Dia takut tinggal seorang di kampung rupanya.

Petang tu, aku call mak cik aku di kampung. Dia ni seorang ustazah dan perawat sambilan. Dia cerita, bukan sekadar cerita pontianak tu, tapi ada cerita hantu pucong di kawasan kejadian yang sama. Dia dah tengok video klip tu. Bergolek-golek atas bas hantu tu. Ada konstabel polis yang tembak ke arah pocong tersebut dan pocong tersebut terus hilang. Dia kata walaupun dia seorang ustazah aka "Nenek Bomoh", tapi seram tetap seram. Kalau jumpa mesti lari. Aku ketawa mengilai-gilai dengar cerita dia. Aku tak tahu setakat mana kebenaran cerita ni tapi aku yakin kewujudannya sebab aku sendiri pernah terlihat "benda macam ni" secara zahir beberapa kali. Wallahualam.

Untuk maklumat lanjut, aku sertakan sisipan berita dari harian Metro dan video klip tentang Pontianak Pulau Gadong , Melaka, untuk tatapan kalian.




Klip Video Pontianak Pulau Gadong

Friday, April 4, 2008

Blog Oh Blog!

Dah lama tak memblog. Sibuk urusan dunia. Alahai.

Kebelakangan ni pergerakan aku terbatas sebab harus lebih fokus. Banyak berhibernisasi. Kurang melompat. Macam monyet.

Ada ahli politik tersohor ( ye ke?) kata bloggers ni Monyet. Ada yang kata bloggers ni ‘syok sendiri”. Hakikatnya, yang mengata tu lebih monyet dari beruk. Terkinja-kinja, terlompat-lompat, tergaru-garu, macam monyet kena belacan. Merayu undi, merayu simpati. Kesian. Apa pun orang kata, bloggers tetap ada sumbangannya pada negara.

PRU 12 dah berakhir dan kesan sumbangan bloggers telah pun menampakkan hasilnya. Sekarang bloggers dah popular. Ada rakan-rakan bloggers dah sibuk tempah baju batik. Baju batik yang lama tersimpan gerobok dah di seterika dan digantung rapi. Manalah tahu dapat surat jemputan dari Pak Menteri. Pak Menteri dah mula nak berkawan dengan bloggers. Orang Jawa bilang ini “Reverse Psychology ". "If We Can’t Fight Them, We Join Them". Pepatah ni selalu disebut oleh sahabat-sahabat berbangsa Cina aku. Itu bab politik.

Aku rasa wadah bloggers ni besar. Setiap orang ada peranan. Tulisan berbau politik ke, berbau emosi ke, berbau sindiran ke, berbau belacan ke, kalau betul caranya, mesej akan sampai. Macam makan rojak. Ada rasa pedas, rasa manis, rasa macam-macam. Macam-macam campur. Tapi orang tetap suka makan. Sebab apa? Sebab rasa dia yang macam-macam itulah. Macam tulisan bloggers juga. Sama ada tulisan sarat dengan kajian ilmiah, analisa politik atau sarat dengan cerita peribadi, masing-masing punya punya peminat sendiri.

Aku cuma penulis picisan. Baca blog sendiri pun dah rasa satu kenikmatan. Orang kata ni sindrom “syok sendiri”. Alahai. Aku tengok ada Pak menteri pun dah sibuk buat blog sendiri.. Alahai. Itulahkan, pesan orang tua-tua, jangan meludah kelangit. Nanti kena batang hidung sendiri.

Tik…tak..tik.. tak...jarum jam berbunyi.. entri baru blog aku ni tak siap-siap lagi. Alahai.