Thursday, October 23, 2008

Sepasang Kasut Itu..

Telinga Amir mula rasa berdengung apabila keretanya mula mendaki lebuhraya Karak berhampiran dengan Genting Sempah itu. Di tekannya pedal minyak sekuat hati untuk memastikan kereta buruknya mampu mendaki jalan berbukit yang seakan ular sawa dipalu itu. Kehijauan hutan sepanjang perjalanan begitu mengasyikan dirinya. Suara gurau-tawa dua orang anaknya begitu menghiburkan hatinya dan menenggelamkan gemersik lagu Dealova nyayian Once yang diputar oleh stesen radio ERA. Janji untuk membawa dua orang anak kesayangannya melihat dan bermain dengan gajah di Pusat Pemuliharaan Gajah, Kuala Gandah Lancang mesti ditunaikan hari ini.

Sebenarnya Amir boleh memilih untuk Genting Highlands sahaja. Anak-anak tentu seronok. Taman tema Genting Highlands pasti menjanjikan keriangan untuk kanak-kanak. Tapi Amir fikir itu bukanlah yang terbaik untuk mereka. Anak-anak harus dididik dekat dengan alam. Mendidik mereka mengenal Sang pencipta alam. Mendidik mereka mengenal kebesaran Tuhan. Biar mereka mampu memandang yang banyak tetapi tetap nampak yang Satu, Allah S.W.T, yang menciptakan 7 petala bumi dan tujuh petala langit berserta isinya. Lamunan Amir tiba-tiba terhenti bila bahunya ditepuk lembut oleh anak lelakinya,Khair, “ Ayah, kasut sekolah Khair dah buruk laa.. boleh kita beli yang baru tak? “ Kasut Qilah pun dah lama la ayah..” sampuk si puteri comelnya. Amir hanya mampu tersenyum tawar. Isterinya hanya menjeling sambil mengangguk. Seingatnya, kasut-kasut anaknya masih baik dan bersusun penuh di rak kasut.

Tiba-tiba ingatan Amir terus menerjah ke zaman silamnya dulu. Kenangan yang mengajar dia erti sebuah kehidupan. Erti hidup yang menjadikan dia manusia tabah. Dia teringat kasut sekolahnya dulu. Sepasang kasut BATA yang dipakainya untuk setahun. Kasut yang bertapak hijau. Kasut yang dipakai untuk mengalas kakinya untuk menapak melalui jalan-jalan estet getah sejauh 1.5 kilometer untuk kesekolah. Kasut yang digunakan untuk hari-hari sukan dan kadang-kadang itulah kasut yang digunakan untuk berhari-raya. Kasut itu mengajar dia erti berdikari. Dia masih ingat, dia dilatih membasuh kasut sendiri seawal darjah satu. Dia masih ingat, kali pertama dia membasuh kasut sekolahnya, dia menggunakan sabun Lux. Sabun mandi yang wangi. Dia masih ingat, Kak Longnya menegurnya dan mengantikan dengan sabun buku yang berwarna hijau. Sabun cap kapak. Ya, sabun cap kapak. Disentalnya sekuat hati, hingga mengelupas kulit tangannya. Setelah bersih, dikapur putih dan dijemur. Dia sedar, ketika itu aruah ayahnya mengajar dia berdikari. Ajar dia bertanggungjawab, atas masalah sendiri. Jadi dia tidak akan kotorkan kasutnya sesuka hati. Dia sedar, sebenarnya dia diajar membersihkan kotoran hati, menyental kasut ibarat menyental hati. Menyental kasut menghilangkan rasa sombong diri. Orang sombong tidak akan rela membasuh kasutnya sendiri. Orang sombong tidak akan merendah diri. Dia sedar, aruah ayahnya seorang pendita hebat. Dalam suruh ada ilmu. Dalam pandang ada teguran.

Dia masih ingat, kasutnya pernah terkoyak beberapa kali. Kadang-kadang sehingga ternampak ibu jari. Untuk menyuarakan hasrat hati pada aruah ayah terasa malu. Ayahnya bukan orang senang. Berapalah sangatlah gaji ayahnya sebagai buruh kasar di Jabatan Pertanian tu. Membesarkan enam orang anak-anak bukanlah perkara senang. Dia pendamkan sahaja hasrat hati. Dicari benang dan jarum di laci dan dijahit sendiri. Dia belajar lagi. Kali ini erti empati. Hatta, pemimpin agung Islam, baginda Rasulullah s.a.w menjahit sendiri pakaiannya yang koyak. Dia belajar lagi, sebenarnya dia sedang menjahit hatinya yang koyak. Dari sifat terlalu ingin memiliki.

Pernah dulu kasutnya koyak-rabak ketika dalam perjalanan kesekolah. Tak mampu dijahit lagi. Hendak pulang kerumah, sudah hampir kesekolah. Mahu tidah mahu, diseret saja kakinya supaya kasut itu tidak terlepas dari kakinya. Teman sekolah memandangnya kehairanan. Seakan si tepok sedang berjalan. Ketika itu malu bukan kepalang, seakan fakir dijalanan. Puas dia menahan agar air mata tidak tumpah. Dia mesti kuat. Amir belajar lagi. Biar hina disisi manusia, jangan hina disisi Tuhan. Amir sedar, Allah sedang mendidik jiwanya. Dia sedar inilah didikan yang menguatkan hati dan nuraninya. Dia sedar, itulah yang menjadikan dia seorang manusia. Dia sedar sepasang kasut itulah yang pernah mengajarnya ... Sepasang kasut itulah.

Tiba-tiba terpacul kata-kata dari bibirnya ” Adik, kasut tu biarlah tak berganti. Masih elok lagi... kau belajarlah mengenal erti hidup ni..macam yang pernah ayah kenal dulu...”

Semua mata memandang kearah lelaki harapan mereka, kehairanan, cuba menangkap maksud kata-kata dan mereka apa yang mereka perasan, air mata tulus ayah mereka bergenang dan terus membasahi pipinya yang mulus ....

Monday, October 20, 2008

Ayat-ayat cinta.. (Cerpen)

Entah apa yang mengusik hati kecil Amir hingga air mata sucinya mengalir membasahi pipinya yang putih itu. Bait- bait dialog yang dituturkan dalam filem Ayat-Ayat Cinta itu benar-benar meruntun hatinya. Menusuk jauh didalam kalbu, meresapi seakan harum kasturi yang melekat di jubah suci para wali. Seingat Amir, begitu payah untuk dia mengalirkan air mata, apa lagi menangis untuk perkara yang begitu remeh. Kali ini dia tidak berupaya mengekang air mata itu dari terus mengalir. Dia tidak berupaya untuk menahan fitrah sucinya dari diselimuti perasaan sebak dan hiba dan perasaan itu akan berkunjung setiap kali dia mendengar bait-bait lagu Ayat-Ayat Cinta yang dinyanyikan oleh Rossa, penyanyi cantik dari Indonesia itu.

Kisah cinta lima penjuru antara Fahri, Aisha, Maria, Nurul dan Nuora begitu indah digarap ceritanya di mata Amir. Kelihatan sempurna dengan keindahan akhlak Islam yang dipamirkan Fahri, mahasiswa Azhar yang jujur dan bersahaja. Lurusnya mengamit jiwa gadis-gadis yang memandang, seperti Zulaikha memandang nabi Yusuf a.s. Jujur yang mengundang cinta, cinta yang mengundang fitnah, fitnah yang mengundang bencana. Tapi ada yang lebih menarik di hati Amir hingga jiwanya begitu tersentuh…bukan kisah cinta antara Fahri dan Aisha atau keluhan cinta Maria pada Fahri. Bukan. Itu cinta biasa. Itu cinta antara manusia yang berbeza. Mungkin jalan ceritanya digarap sedemikian rupa agar sedikit luar biasa, dimata manusia..

Apa yang lebih tertangkap dijiwanya adalah bait-bait kata teman sepenjara Fahri yang kelihatannya seperti pengemis jalanan..(dimata manusia).. ketika Fahri tidak terdaya menanggung tekanan persaan yang maha hebat, temannya berkata.. "Bangun Fahri, Allah sedang berbicara dengan mu supaya kamu tidak sombong!" dan di saat Fahri menerima surat dibuang Azhar, perasaan putus asa terus mneyelebungi dirinya. Teman sepenjaranya mengingatkannya tentang nabi Yusuf a.s yang dipenjara kerana fitnah Zulaikha, katanya” “Kamu mau tahu apa yg dikatakan Yusuf? kata Yusuf, Ya Allah, jika memang kehidupan penjara lebih bererti bagiku daripada dunia maka aku lebih memilih tinggal dipenjara tapi dekat denganmu… Allah sedang berbicara padamu tentang sabar dan ikhlas… Sabar dan Ikhlas.. itulah Islam Fahri.. “

Bait-bait kata itu meruntun ke jiwa Amir, memaksa air matanya mengalir deras. Air mata penyesalan yang seakan tegar untuk mengalir dari seorang lelaki egois sepertinya. Amir merasakan Fahri itu adalah bayangan dirinya. Meskipun dia tidak pernah dicintai oleh 5 wanita tetapi dia sering merasakan bahawa dirinya di gilai oleh ramai wanita. Meskipun tidak pernah difitnah dan dipenjara, dia merasakan dialah yang selalu di uji hebat. Meskipun sering tinggalkan solat jemaah dan liat untuk tahajud di dua pertiga malam dia sering merasakan dirinya warak. Sering merasakan yang paling ikhlas sedang hati berbicara bila berbuat kebaikan.. sering merasakan yang paling sabar tapi mengeluh ketika bersendirian...

Amir merasakan Allah sedang Berbicara dengannya sekarang.. tiba-tiba kakinya longlai, lemah tidak bermaya...jatuh mengelunsur dari sofa nan empuk.. dia mencari kekuatan untuk duduk bersujud.. memohon keampuan. Hidayah Allah ada dimana-mana. Bukan sekadar di masjid yang indah, bukar sekadar di dalam gua... tapi didepan TV plasma diatas kerusi yang empuk. Maafkan aku Tuhan.. Aku manusia kerdil, semua yang ada pada ku hanyalah pinjaman dari Mu...Syukur ya Tuhan, kerana sudi berbicara denganku dengan hidayahMu yang kau tunjukan ini...inilah hakikat ayat-ayat cintaMu yang kau tunjukan pada ku... Air mata Amir terus mengalir bagaikan sungai Nil yang mengalir tenang di bumi Mesir, bumi para Anbia...

Monday, September 15, 2008

Terima Kasih Cikgu !

SAJAK "GURU O' GURU"

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki

Berguru kepalang ajar
barat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang
Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang
Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang
Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dialah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat. "

USMAN AWANG1979 ..

Setiap kali aku menghayati puisi Allahyarham Usman Awang ini, hati aku jadi sebak.. setiap kali menjelang hari guru (16 Mei), aku pasti akan smskan rangkap pertama puisi pada cikgu-cikgu yang rapat dengan aku..


Duduk dikerusi empuk dan dibilik berhawa dingin ini mengingatkan aku jerih perih seorang guru yang terpaksa berdiri menghidu habuk kapur dan melayan kerenah murid-murid setiap hari..


Selepas tamat belajar di Universiti, bila berkesempatan guru-guru lama, pasti aku hubungi. Ada antara bekas guru yang terus menjadi kawan baik dan akan bermalam di rumah kalau ada mereka berkursus di Kuala Lumpur..


Baru-baru ini, seorang guru kelas semasa di Matrikulasi Mara dulu dan juga guru silat cimande yang dihormati , Cikgu Ross yang bukan saja kami anggap sebagai guru tapi juga sebagai penganti ibubapa kami semasa belajar diKulim telah menghubungi kami semasa beliau diKL. Satu perjumpaan telah diatur dan kami bertemu di Restoren Sri Chengmai, Sungai Buloh. Pertemuan selama 4 jam itu mengubat rindu antara murid dan guru. Guru tetap guru.. peluang yang ada telah Cikgu Ross isikan dengan nasihat dan ilmu yang berguna buat kami.. kami sedar, siapalah kami tanpa tunjuk ajarmu Cikgu...


Terima Kasih Cikgu!

Tuesday, September 2, 2008

Menjejak Rindu Di Puncak Ledang

Buat kesekian kalinya aku melayan gelojak jiwa yang meruntun untuk menawan Sang Puteri yang kelihatan sayup dari bumi Asahan, Melaka dan Tangkak, Johor. Hari ini, 17 Aug 08, bersamaan dengan hari Sabtu, 15 Sya'aban, aku kembali menawan puncak Gunung Ledang yang tempat bersemayamnya lagenda sang puteri gunung Ledang & sang petapa Adi Putra, guru silat pada Hang Tuah lima bersaudara...

Ini kali ke-3 aku mendaki gunung ini, kali pertama, sekitar tahun 1988 melalui trek Asahan, Melaka. Kali kedua, sekitar tahun 2002 melalui trek Air Panas, Sagil, Johor dan kali-3 melalui trek pemancar TM yang boleh dimasuki melalui kampung orang asli di Jalan Air Tawas, Sagil. Cuma expedisi ke-3 ini tidak menggunakan kudrat empat kerat untuk menggalas camping beg aku yang sarat dengan pelbagai khazanah tu. kali ini aku mempertaruhkan kudrat Toyota Unser Abang aku untuk mendaki sampai ke pemancar TM yang terletak kra-kira 500 meter dari puncak tertinggi gunung Ledang.

Kami melalui jalan berliku dan berlopak yang bisa mencabut urat pinggul kesan henjutan tanpa henti sepanjang perjalanan ke empangan Tangkak (lokasinya terletak di tengah-tengah perjalanan kepuncak). Setelah mendaftar di Pos Taman Negara bersebelahan kawasan empangan, kali terus memandu hingga ke pemancar TM. Kawasan pemancar ini, adalah kawasan larangan negara dan anda harus mendapatkan permit dari pihak berwajib jika hendak memandu hingga kesini, kalau tidak anda akan dihalau secara percuma oleh abang-abang tentera yang bertugas disana.

Pendakian sebenar bermula jam 4.30pm dan sampai kira-kira jam 5.00pm. Walaupun 6 orang mendaki dan jarak pendakian tak sampai 1 km, hanya 2 orang sahaja yang sampai termasuklah aku ..hehehehe.

Kepuasan terbayang setelah kaki mencecah ke puncak Ledang. Berbekal sebotol air mineral, aku mengambil wuduk dan menunaikan hajat untuk solat di puncak lagenda ini... ada misteri yang tak mampu aku rungkai dalam pendakian ini..bak kata Siti, biarlah rahsia....

Meredah trek berliku menuju kepuncak gunung Ledang..

..bermula pendakian, tidak jauh dari kawasan pemancar TM

Tuesday, June 3, 2008

Faces of Surabaya


Java Puppet at Sempoerna cigarettes factory.

Mud Volcanoes at Porong , the tears of Surabaya

Sunrise at the peak of Mount Penanjakan, Surabaya

Mount Bromo, view from the peak of Mt. Penanjakan

Coban Rondo, Waterfall of the legend widow

Colour of faces

Fruits with hair.. what is it ?

Wednesday, May 21, 2008

Menjejak Tuan Tulis

Sudah seminggu sahabat baik ku, Dr. J terlantar di HKL, diserang demam denggi. Rasa bersalah menyelubungi diri bila aku tak sempat nak ziarah dia di hospital. Aku sms PA dia, " Salam. Dr. masih berada di hospital atau sudah discharged? Mudah-mudahan Dr. dah sembuh seperti sedia kala". Kemudian aku terima balasan sms dia.. " Dah kuar. bleh lompat pagar". Aku tersenyum sendiri bila terima sms ini, diikuti dengan satu sms susulan.. 'Doc ada pernah ckp nak ajak U g makam Tuan Tulis". "Hmm... molek juga" fikir aku sendiri dan aku terus balas sms dia " Insyaallah, boleh set masa dgn dr., kalau berpeluang boleh pi mkm tuan tulis dgn dr. nanti.."

Setelah beberapa sms susulan, kami telah menetapkan hari Sabtu (lepas) untuk ziarah kemakam Tuan tulis ini. Perjalanan dari KL ke Kuala Pilah mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah, melalui lebuhraya Plus. Selepas Exit Senawang, terus ke Kuala Pilah melalui Bukit Putus hingga tiba ke Pekan Teraci. Makam Tuan Tulis terletak di Kg.Talang Kuala Pilah, kira-kira 3km selepas balai polis Teraci.


Masjid Tuan Tulis yang terletak di Kg. Talang, Kuala Pilah. Didepan masjid terdapat replika keris dan sedikit catatan mengenai Tuan Tulis.
Apa yang menarik tentang Tuan Tulis ini? atau nama sebenar beliau Tn. Guru Ismail Jaaman. Beliau hidup dari tahun 1840- 1923 dan dikenali sebagai seorang alim lagi soleh dan bertaraf Wali Allah (berdasarkan Karamah yang dikurniakan Allah SWT pada beliau). Setelah meninggal dunia, makam beliau sering dikunjungi orang di seluruh pelusuk negara.

Tuan Tulis mendapat gelaran ini guru dan rakan-rakan lantaran kerajinan beliau menyalin isi kitab-kitab yang dimiliki dan yang dipelajarinya selain di dakwa pernah menjadi juru tulis gurunya. Beliau telah merantau hingga ke Temerloh, Pahang dan mengaji agama dibanyak tempat seperti di Pancur, Sanggang, Lubuk Kawah dan lain-lain tempat. Di Lubuk Kawah beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kelantan. Dari segi perawakannya, Tuan Tulis bertubuh kecil dan gemar memakai kain pelikat, berseluar jerut, baju Melayu dan bertongkat.

Allahyarham Tuan Tulis banyak membuat kerja kebajikan dalam masyarakat. Beliau tidak berat tulang untuk menolong orang susah, memberi nasihat dan menyeru amal maaruf dan nahi mungkar. Kesannya ramailah orang-orang yang dijadikan sahabat kembali taat dalam ibadah walaupun dulunya liat dalam menunaikan tuntutan agama.Dipercayai bahawa Tuan Tulis mewarisi Tarekat Satariah dan kuat beribadah. Diriwayatkan semasa hayatnya, terdapat perkara-perkara pelik berlaku pada Tuan Tulis. Antaranya ialah beliau sempat ke Mekah membantu memadamkan kebakaran besar pada awal tahun 1900 ketika tukang cukurnya masuk ke rumah untuk mengasah pisau cukurnya. Kerbau-kerbau milik beliau juga akur dengan perintahnya tidak memakan padi orang di sawah dan tetapi makan rumput sahaja. Keanehan lain pula ialah beliau pergi mengubat Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhamad di London dengan air jampi sedangkan beliau telah meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

Beliau amat diingati dengan kejayaan beliau menghasilkan sebuah masyhaf Al-Quran tulisan tangan. Beliau juga telah berusaha mendirikan sebuah masjid di Kg Kuala Talang pada tahun 1920 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.Tuan Tulis meninggal dunia dalam tahun 1923 selepas subuh hari ke sepuluh bulan Ramadhan ketika berusia 83 tahun. Beliau dikebumikan di Kawasan Masjid Kuala Talang, Tanjung Ipoh. Tuanku Muhamad Yang Dipertuan Besar telah perkenan membina makamnya di sana sejurus bila baginda balik dari England selepas diubati oleh Tuan Tulis. Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, jenazahnya dikatakan ghaib secara tiba-tiba semasa dituruni ke liang lahad. Wallahualam. (sumber fakta: lebaikampung.blogspot.com)

Itu sedikit sebanyak tentang Tuan Tulis, di sana kami sempat bertemu cucu saudara Tuan Tulis , nenek Jenab dan pemegang kunci makan Tuan Tulis yang merupakan salah seorang waris Allahyarham, Pak Cik Jidon.

Selepas zohor, kami berangkat pulang dan singgah di Istana Seri Menanti dan seterusnya melawat ladang ternakan Naga.. opps, ladang tananam buah naga, di Kuala Pilah. Petani disini bijak menggunakan faktor cuaca ( Kuala Pilah merupakan kawasan yang paling kering di Malaysia @ menerima taburan hujan yang paling sedikit). Aku rasa Sinaganaga patut melawat ladang ini untuk melihat betapa cantiknya ladang ini dan betapa merahnya buah naga ini diluar dan didalam....


Panorama di ladang buah naga ( Dragon Fruit) di Kuala Pilah. Buah naga yang merah diluar dan merah di dalam.

Tuesday, May 20, 2008

Urut, Diurut dan Mengurut .....

Dalam satu mesyuarat NGO beberapa minggu lagu, lepas sessi formal berakhir, terlontar satu cadangan dari Suradi, salah seorang ahli mesyuarat. " Bro, jom pi kursus mengurut" ajak beliau. "Kursus mengurut? bila tu? menarik ke?" tanya aku cuba mencungkil maklumat tambahan. Setelah diselidiki rupa-rupanya kursus ni dibawah kelolaan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi. Kalau nak diikutkan, kursus ni tak relevan langsung dengan karier aku sekarang, hehehehe. Apa pun, aku berpegang dengan kata orang-orang tua, "Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya". Selalunya aku yang diurut oleh Wak Slamet, masseur peribadi yang mengurut aku setiap bulan, tapi lepas ni mungkin aku yang urut Wak Slamet pulak... hahahaha.

Sebenarnyer, kursus tu adalah kursus Urutan Traditional Melayu. Tenaga pengajar itu ialah En Roslan dan Tuan Syed Mahdi iaitu pakar Urutan Traditional Melayu. Kalau tengok CV pengajar ni, perghh! memang mengkagumkan. Pengalaman mereka dalam bidang mengurut ni dah berpuluh-puluh tahun, dah merata cerok tempat dah mereka pergi demi mencari ilmu mengurut ni. Dari selatan, utara dan melepasi sempadan tanah air mereka menimba ilmu mengurut ini. Mereka juga merupakan duta negara dalam mempromosi Malaysia atau urutan tradisional Melayu keseluruh dunia termasuk ke Jepun, Jerman, Arab Saudi dan negara-negara yang lain.

Kami belajar teknik mengurut asas. Ada latihan amali dan ujian teori. Memang menarik ! pengalaman yang mereka kongsikan cukup bermanfaat. Aku turunkan beberapa petua untuk dikongsi bersama.
1. Petua awet muda & kesihatan
Amalkan minum air putih/mineral sebaik saja bangun dari tidur.
- Sila Baca, teguk air pertama: i) Bismillahhirrahmaanirrahim
teguk air kedua : ii) Lailahaillallah
teguk air ketiga : iii) Alhamdulillah
..dan terus habiskan baki air yang selebihnya. InsyaAllah.
2. Amalkan mencuit/merasa sedikit garam sebelum makan. Ini baik untuk kesihatan perut.

3. Amalkan memakan/minum sedikit madu asli setiap hari.
4. Jangan kencing berdiri, biasanya air kencing tidak akan tos habis dan ianya juga boleh melemahkan anu anda.

Seterusnya amalkan senaman tua setiap pagi sejurus saja bangun dari tidur. Ini sebahagian dari senanaman tua, bahagian terlentang. Baik untuk pinggang, kaki dan regangan saraf-saraf utama sekaligus membolehkan anda "mengangkat" dua biji kelapa...TuuuUuuutttttt...

Senam 1

-Tarik nafas, tegakkan lutut dan angkat pinggang keatas

-Tahan nafas untuk seketika, lepas nafas dan turunkan pinggang kebawah secara perlahan-lahan

- Ulang beberapa kali

Senam 2

-tarik nafas, angkat lutut silangkan kaki dan tarik kearah badan sehingga kedudukan punggung ternaik sedikit.

-tahan nafas seketika, turunkan kaki perlahan-lahan sambil melepaskan nafas

-ulang beberapa kali


Senam 3

-Tarik nafas, angkat kaki dalam betuk L, jatuhkan kaki kesebelah kiri perlahan-lahan (tanpa mengerakkan kepala) dan lepaskan nafas

-Ulang sekali lagi disebelah kanan.

-Ulang beberapa kali

Senam 4.

-Tarik nafas, angkat kaki lurus dan gerakkan pergelangan kaki.

-Lepaskan nafas, ulang beberapa kali.

Sekian, sedikit ilmu untuk dikongsi bersama....Adioooss