Wednesday, May 21, 2008

Menjejak Tuan Tulis

Sudah seminggu sahabat baik ku, Dr. J terlantar di HKL, diserang demam denggi. Rasa bersalah menyelubungi diri bila aku tak sempat nak ziarah dia di hospital. Aku sms PA dia, " Salam. Dr. masih berada di hospital atau sudah discharged? Mudah-mudahan Dr. dah sembuh seperti sedia kala". Kemudian aku terima balasan sms dia.. " Dah kuar. bleh lompat pagar". Aku tersenyum sendiri bila terima sms ini, diikuti dengan satu sms susulan.. 'Doc ada pernah ckp nak ajak U g makam Tuan Tulis". "Hmm... molek juga" fikir aku sendiri dan aku terus balas sms dia " Insyaallah, boleh set masa dgn dr., kalau berpeluang boleh pi mkm tuan tulis dgn dr. nanti.."

Setelah beberapa sms susulan, kami telah menetapkan hari Sabtu (lepas) untuk ziarah kemakam Tuan tulis ini. Perjalanan dari KL ke Kuala Pilah mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah, melalui lebuhraya Plus. Selepas Exit Senawang, terus ke Kuala Pilah melalui Bukit Putus hingga tiba ke Pekan Teraci. Makam Tuan Tulis terletak di Kg.Talang Kuala Pilah, kira-kira 3km selepas balai polis Teraci.


Masjid Tuan Tulis yang terletak di Kg. Talang, Kuala Pilah. Didepan masjid terdapat replika keris dan sedikit catatan mengenai Tuan Tulis.
Apa yang menarik tentang Tuan Tulis ini? atau nama sebenar beliau Tn. Guru Ismail Jaaman. Beliau hidup dari tahun 1840- 1923 dan dikenali sebagai seorang alim lagi soleh dan bertaraf Wali Allah (berdasarkan Karamah yang dikurniakan Allah SWT pada beliau). Setelah meninggal dunia, makam beliau sering dikunjungi orang di seluruh pelusuk negara.

Tuan Tulis mendapat gelaran ini guru dan rakan-rakan lantaran kerajinan beliau menyalin isi kitab-kitab yang dimiliki dan yang dipelajarinya selain di dakwa pernah menjadi juru tulis gurunya. Beliau telah merantau hingga ke Temerloh, Pahang dan mengaji agama dibanyak tempat seperti di Pancur, Sanggang, Lubuk Kawah dan lain-lain tempat. Di Lubuk Kawah beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kelantan. Dari segi perawakannya, Tuan Tulis bertubuh kecil dan gemar memakai kain pelikat, berseluar jerut, baju Melayu dan bertongkat.

Allahyarham Tuan Tulis banyak membuat kerja kebajikan dalam masyarakat. Beliau tidak berat tulang untuk menolong orang susah, memberi nasihat dan menyeru amal maaruf dan nahi mungkar. Kesannya ramailah orang-orang yang dijadikan sahabat kembali taat dalam ibadah walaupun dulunya liat dalam menunaikan tuntutan agama.Dipercayai bahawa Tuan Tulis mewarisi Tarekat Satariah dan kuat beribadah. Diriwayatkan semasa hayatnya, terdapat perkara-perkara pelik berlaku pada Tuan Tulis. Antaranya ialah beliau sempat ke Mekah membantu memadamkan kebakaran besar pada awal tahun 1900 ketika tukang cukurnya masuk ke rumah untuk mengasah pisau cukurnya. Kerbau-kerbau milik beliau juga akur dengan perintahnya tidak memakan padi orang di sawah dan tetapi makan rumput sahaja. Keanehan lain pula ialah beliau pergi mengubat Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhamad di London dengan air jampi sedangkan beliau telah meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

Beliau amat diingati dengan kejayaan beliau menghasilkan sebuah masyhaf Al-Quran tulisan tangan. Beliau juga telah berusaha mendirikan sebuah masjid di Kg Kuala Talang pada tahun 1920 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.Tuan Tulis meninggal dunia dalam tahun 1923 selepas subuh hari ke sepuluh bulan Ramadhan ketika berusia 83 tahun. Beliau dikebumikan di Kawasan Masjid Kuala Talang, Tanjung Ipoh. Tuanku Muhamad Yang Dipertuan Besar telah perkenan membina makamnya di sana sejurus bila baginda balik dari England selepas diubati oleh Tuan Tulis. Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, jenazahnya dikatakan ghaib secara tiba-tiba semasa dituruni ke liang lahad. Wallahualam. (sumber fakta: lebaikampung.blogspot.com)

Itu sedikit sebanyak tentang Tuan Tulis, di sana kami sempat bertemu cucu saudara Tuan Tulis , nenek Jenab dan pemegang kunci makan Tuan Tulis yang merupakan salah seorang waris Allahyarham, Pak Cik Jidon.

Selepas zohor, kami berangkat pulang dan singgah di Istana Seri Menanti dan seterusnya melawat ladang ternakan Naga.. opps, ladang tananam buah naga, di Kuala Pilah. Petani disini bijak menggunakan faktor cuaca ( Kuala Pilah merupakan kawasan yang paling kering di Malaysia @ menerima taburan hujan yang paling sedikit). Aku rasa Sinaganaga patut melawat ladang ini untuk melihat betapa cantiknya ladang ini dan betapa merahnya buah naga ini diluar dan didalam....


Panorama di ladang buah naga ( Dragon Fruit) di Kuala Pilah. Buah naga yang merah diluar dan merah di dalam.

2 comments:

Suzana @Kak Su said...

Tuan, saya adalah anak kelahiran kampung kuala talang ini. Saya juga sedang berusaha untuk menaik tarafkan Makam Tuan Tulis ini kerana saya berbangga lahir di sini. Rumah saya berhadapan dengan makm ini... Banga rasanya saya kerana Saya dan suami juga sedang berusaha untuk mendapatkan pengkisahan tuan tulis ini daripada orang-orang tua di kampung saya... teruskan usaha anda di dalam perkara-perakara sejarah sebegini.. Tahniah...

2013 Lipis ICT SPM Teacher said...

hmm.. Dr Jamaluddin A Jalal kono domam denggi semoga dia sembuh seponuhnyo...