Tuesday, April 15, 2008

Pontianak Pulau Gadong !

13/04/08 (Ahad), 7.00 pm.. aku terima panggilan dari abang aku di kampung Melaka. " Mak nak datang rumah Kak Ina malam ni boleh ke?" tanya abang aku. Kebetulan hari tu aku baru lepas bawa kakak Ina aku sekeluarga bercuti di Fraser Hill dan mereka transit di rumah aku sekejap sebelum bertolak balik ke Seremban. Aku kira, kalau bertolak dari KL pukul 10 malam mungkin akan sampai ke Seremban pukul 11 lebih. Aku suruh abang aku pujuk mak untuk datang hari lain saja sebab takut kakak sampai lambat dirumahnya. Abang kata mak bertegas nak ke Seremban jugak. Aku naik hairan. Selalu mak tak macam ni.

Kakak bertolak pulang ke Seremban setelah selesai makan malam. Mereka harus sampai awal untuk mengelakkan emak menunggu lama di Seremban. Tapi malam itu aku masih tertanya-tanya gerangan apa mak bersungguh untuk ke rumah kakak?

14/04/08 (Isnin), 10.00am.. Abang aku datang ke ofis untuk bertukar kereta dengan aku. Sebelum beredar, dia sempat menunjukkan sesuatu yang menyebabkan mak aku beria-ria nak ke Seremban. Di selaknya Harian Metro muka surat 9, bertajuk " Ramai tunggu pontianak". Ceritanya, ada yang mendakwa nampak pontianak menangis di waktu malam dan kejadian itu berjaya dirakam dalam klip video sepanjang 50 saat dan memaparkan seorang wanita berambut panjang serta berkain putih terapung di udara sambil menangis. Kejadian tu berlaku Jambatan Pulau Gadong yang terletak lebih kurang 800 meter dari rumah mak aku di kampung. Laaa... patutlah mak aku beria-ria sangat nak ke Seremban. Dia takut tinggal seorang di kampung rupanya.

Petang tu, aku call mak cik aku di kampung. Dia ni seorang ustazah dan perawat sambilan. Dia cerita, bukan sekadar cerita pontianak tu, tapi ada cerita hantu pucong di kawasan kejadian yang sama. Dia dah tengok video klip tu. Bergolek-golek atas bas hantu tu. Ada konstabel polis yang tembak ke arah pocong tersebut dan pocong tersebut terus hilang. Dia kata walaupun dia seorang ustazah aka "Nenek Bomoh", tapi seram tetap seram. Kalau jumpa mesti lari. Aku ketawa mengilai-gilai dengar cerita dia. Aku tak tahu setakat mana kebenaran cerita ni tapi aku yakin kewujudannya sebab aku sendiri pernah terlihat "benda macam ni" secara zahir beberapa kali. Wallahualam.

Untuk maklumat lanjut, aku sertakan sisipan berita dari harian Metro dan video klip tentang Pontianak Pulau Gadong , Melaka, untuk tatapan kalian.




Klip Video Pontianak Pulau Gadong

Friday, April 4, 2008

Blog Oh Blog!

Dah lama tak memblog. Sibuk urusan dunia. Alahai.

Kebelakangan ni pergerakan aku terbatas sebab harus lebih fokus. Banyak berhibernisasi. Kurang melompat. Macam monyet.

Ada ahli politik tersohor ( ye ke?) kata bloggers ni Monyet. Ada yang kata bloggers ni ‘syok sendiri”. Hakikatnya, yang mengata tu lebih monyet dari beruk. Terkinja-kinja, terlompat-lompat, tergaru-garu, macam monyet kena belacan. Merayu undi, merayu simpati. Kesian. Apa pun orang kata, bloggers tetap ada sumbangannya pada negara.

PRU 12 dah berakhir dan kesan sumbangan bloggers telah pun menampakkan hasilnya. Sekarang bloggers dah popular. Ada rakan-rakan bloggers dah sibuk tempah baju batik. Baju batik yang lama tersimpan gerobok dah di seterika dan digantung rapi. Manalah tahu dapat surat jemputan dari Pak Menteri. Pak Menteri dah mula nak berkawan dengan bloggers. Orang Jawa bilang ini “Reverse Psychology ". "If We Can’t Fight Them, We Join Them". Pepatah ni selalu disebut oleh sahabat-sahabat berbangsa Cina aku. Itu bab politik.

Aku rasa wadah bloggers ni besar. Setiap orang ada peranan. Tulisan berbau politik ke, berbau emosi ke, berbau sindiran ke, berbau belacan ke, kalau betul caranya, mesej akan sampai. Macam makan rojak. Ada rasa pedas, rasa manis, rasa macam-macam. Macam-macam campur. Tapi orang tetap suka makan. Sebab apa? Sebab rasa dia yang macam-macam itulah. Macam tulisan bloggers juga. Sama ada tulisan sarat dengan kajian ilmiah, analisa politik atau sarat dengan cerita peribadi, masing-masing punya punya peminat sendiri.

Aku cuma penulis picisan. Baca blog sendiri pun dah rasa satu kenikmatan. Orang kata ni sindrom “syok sendiri”. Alahai. Aku tengok ada Pak menteri pun dah sibuk buat blog sendiri.. Alahai. Itulahkan, pesan orang tua-tua, jangan meludah kelangit. Nanti kena batang hidung sendiri.

Tik…tak..tik.. tak...jarum jam berbunyi.. entri baru blog aku ni tak siap-siap lagi. Alahai.

Thursday, March 27, 2008

Mabuk bukan mabuk...

Mabuk bukan mabuk ..mabuk nama.. mabuk cinta… mabuk kuasa..

Ini lirik lagu Spider.

Anak aku cukup suka lagu ni..diulangnya chorus lagu ni berkali-kali..sampai aku pun hafal ( chorusnya je..). Entahlah.. aku pun dah naik mabuk sekarang. Mabuk dengan aksi-aksi politik yang memualkan. Mabuk dengan karenah segelintir manusia yang mabuk kuasa. Aku pun dah lama tak mabuk, tapi mabuk yang aku suka ni jenis mabuk yang halal. Aku rela mabuk jenis ni. Tapi nak dapat mabuk jenis ni kena keluar modal sikit. Tengok keadaan la..kadang-kadang kau dapat mabuk ni, kadang-kadang kau tak dapat..minggu lepas, aku dah tak tahan. Aku tak kira. Aku dah rindu kat mabuk jenis ni. Kawan-kawan aku kalau mabuk jenis ni, muntah sampai keluar isi perut. Sampai tertidur berjam-jam. Itulah penangan MABUK LAUT. Sabtu lepas, aku ke One Phanthom Bank, rumah api yang terletak kira-kira 20 batu nautika dari pantai Klang. Ini port Baekkk bagi pemancing-pemancing tegar seperti aku. Kawasan ini dah dekat dengan perairan antarabangsa dan kau boleh nampak kapal-kapal dagang bersusun macam jem di Jalan Tun Razak tu..

Dipendekan cerita bot kami berjaya mendaratkan ikan-ikan talang sebesar budak 3-4 tahun. Aku dengan bangganya berjaya mendaratkan berpuluh ekor ikan todak ..( syyyy..saiznya sebesar 3- 4 jari jer). 2 orang rakan bot aku jatuh mabuk. Aku dengan machonya berjaya mengawal mabukku, Cuma aku tak berjaya mengawal mabuk untuk mendaratkan ikan-ikan besar.

Selain dari ikan, aku dapat hasil-hasil lain seperti kawan-kawan baru, lepas gian, puas hati, gelak tawa, berkongsi ketenangan alam dan rasa rilek seketika, jauh dari dunia hipokrit dan politik manusia..

Inilah barisan kita..yang ikhlas memancingg.....


Dia atas pelantar OFB, sedang meningkatkan ilmu menunggu ikan tahap cipan menguap..

Berkat kesabaran....inilah hasilnya....

Lautan mengalun ombak nan sarat

Menguntum damai disudut perasaan

Sang Ikan di tangan digenggam erat

Tersenyum simpul tanda kepuasan

Saturday, March 1, 2008

Epilog Seorang Aku.. CJ7

Malam tadi aku bawa anak-anak tengok wayang, cerita CJ7, lakonan Stephen Chow. Aku rasa malam tu cerita ni saja yang sesuai untuk tontonan anak-anak aku.. lagipun dah lama aku tak bawa dia orang pergi menonton wayang. Biar anak-anak aku rasa gembira atau sekurang-kurangnya menghilangkan bosan setelah 5 hari bersekolah..

Sepatutnya cerita ni cerita kelakar, tapi selitan kisah sedih 2 beranak ini benar-benar menyentuh hati aku. Aku jarang menangis, tapi dalam gelak-tawa cerita ni..aku mengalirkan airmata. Kemiskinan 2 beranak yang dipaparkan dalam filem ni, benar-benar menyentuh hati. Mesej kasih sayang seorang bapa yang berusaha memberikan yang terbaik untuk anaknya begitu menonjol dan mendakap.

Waktu-waktu begini, aku teringat aruah ayah. Terbayang wajahnya yang tenang dan tawaduk. Garis-garis tua yang terlakar diwajahnya mengambarkan kepayahan ayah membesarkan kami enam beradik. Ayah jarang mengeluh dan sentiasa memberikan anak-anaknya yang terbaik. Walaupun dulu ayah cuma seorang buruh di pejabat kerajaan, kami enam beradik tidak pernah lapar. Walaupun hanya sepasang baju sekolah untuk seminggu, kami pakai sehingga kusam dan kami tidah pernah merungut..

Hari ni, kalau tengok rutin hidup aku, keluar pagi, balik malam. Berkejar masa pagi dan petang. kadang-kadang pulang, anak-anak dah tertidur. Sayu hati tengok, tapi apa nak buat, itulah lumrah kehidupan. Mudah-mudahan Allah beri kekuatan, untuk mengharung hidup penuh dugaan, kehidupan seimbang dunia dan akhirat..

Itulah..kadang-kadang aku bertanya pada diri sendiri. Apa yang aku cari selama ini? Cukupkah keberkatan hidup aku ni... ? Sebagai hambaNya yang lemah, aku akan terus berdoa dan berusaha kerana kebahagiaan bukanlah satu noktah, tapi satu perjalanan yang berterusan..

Thursday, February 21, 2008

Sebersih Kaki Ini

Sudah 5 jam Tok Sidang duduk di kerusinya. Punggungnya sudah terasa keras-kematu. Perjalanan ke US menaiki pesawat MAS berbaki 18 jam lagi sebelum berhenti transit di Airport Taipei. Mata Tok Sidang terpaku di jamnya yang dah menunjukkan masuknya waktu zohor. Tok Sidang bergegas ke tandas flight, bukan untuk melepas hajat, tapi untuk berwuduk. Solat perlu disegerakan. Takut-takut tak sempat. Maklumlah pesawat MAS pernah hampir-hampir kehabisan minyak ketika di Heathrow airport dulu. Takut pisang berbuah 2 kali. Tok Sidang fikir, kalau terhempas, dia redha, sebab dah menunaikan yang wajib. Kalau mati, mati dalam iman..

Tok Sidang ambil wuduk berhati-hati. Bimbang air menitis dilantai tandas flight. Sebagai jurutera terlatih, Tok Sidang tahu bawah lantai tandas flight penuh dengan litar-litar elektronik. Sudahi wuduk, Tok Sidang melangkah keluar tapi ditahan oleh seorang pramugari cantik, berlipstik merah dan berkebaya ketat berbunga-bunga. Lantas dialog ini terakam..

PC:Encik dah basahkan tandas flight ini. Encik tak tau kah, ini berbahaya dan mengotorkan tandas? ( dengan nada yang agak keras)

TS: Cik, saya rasa tak lah basah sangat tandas ni. Saya ambil dengan berhati-hati tadi.

PC: Kotorlah encik, mana boleh encik basuh kaki encik di singki tu.

TS: Hmm.. maafkan saya cik. Tapi boleh saya tanya sikit?

PC: Apa dia?

TS: Berapa kali cik basuh muka cik ni sehari?

PC: 3 kali. Kenapa awak tanya?

TS: Hmm..kaki saya saya basuh sekurang-kurangnya 5 kali sehari, jadi maknanya kaki saya lebih bersih dari muka cik ni.

..Tok Sidang terus meninggalkan Pramugari cantik tu yang wajahnya perlahan-lahan sudah bertukar menjadi biru dan kelihatan tidak cantik lagi....

Note: PC=Pramugari Cantik; TS=Tok Sidang

Monday, February 18, 2008

Bomoh PilihanRaya

Aku yakin dan pasti, bulan ini & bulan depan, pendapatan perkapita bomoh-bomoh dan pawang-pawang (yang terpilih saja) di Malaysia dan dinegara-negara jiran (eg: Indonesia & Thailand) akan melonjak naik. Ketika ini, ada para YB (muka-muka baru dan lama) Akan bertandang ke rumah atau klinik tok moh- tok moh ini. Ini bukan fenomena baru. Ini fenomena dulu, kini dan aku tak tahu sampai bila? (aku berdoa moga-moga YB-YB ini kembali ke pangkal jalan).

Kesian aku tengok, ada pemimpin yang tak mampu pimpin diri sendiri. Mengharap bantuan bomoh yang pastinya didalangi jin-jin penipu. Percaya dengan bedak sakti, songkok sakti, minyak sakti yang pastinya bayarannya berkati-kati. Kesian. Menjunjung tinggi benda khurafat dan tahyul. Apa nak kata, itulah sebahagian dari wajah politik kita. Tok Moh tersenyum riang. Lepas pilihanraya boleh pakai Mercedes lampu belalang.

Masih ke kau ingat? Tragedi kerat 18 seorang YB. Angkara mahu kebal dan berkuasa? Kesian-kesian. Jangan terkejut kalau keluar berita sensasi. Bisa gempar seantero negeri. Angkara YB dan Tok Moh peribadi.

Aku lebih kesian, pada pengundi yang terus mengundi, pemimpin begini. Atas nama parti, semua boleh jadi… Aduhai. Kesian-kesian. Menang sorak kampung tergadai.



Ps:// Tak tumbuh tak melata, tak sungguh surat khabar tak kata..

Friday, February 15, 2008

Zuhudkah Aku?